Saturday, December 21, 2013

Dalam Bulatan itu aku gumbira :)

Aku juga seperti kamu-kamu, kali pertamanya melihat kumpulan-kumpulan manusia yang berlonggok membentuk bulatan demi bulatan itu, aku naik hairan walau cuba untuk tidak terlalu memikirkan. Persoalannya tetap lekat di benak fikiran. Kumpulan wanita di ruang solat wanitanya, di penjuru-penjuru atau barisan belakang saf, kawasan pilihan pastinya berhampiran tiang-tiang kipas yang ligat pusingannya. Kumpulan prianya sudah tentu di ruang solat mereka, malahan kelihatan lebih selesa, lebih berselerakan jarak bulatan dengan yang lainnya, bahagia dengan ruang yang lebih terbuka. Masing-masing kusyuk, seolah mentelaah. Biasanya hanya seorang ahli sahaja yang berbicara dalam satu-satu masa, yang lainnya menjadi pendengar setia. Ada ketika, bila yang lainnya menyambung cerita, terkadang disambut dengan ketawa yang ditahan bunyinya. Jelas dalam asyik berbalas kata dan hubungan yang kelihatannya sangat mesra, ternyata, perasaan hormat masih tebal lantas ahli-ahlinya nampak begitu senang dan leka dalam sila yang terkadang ditingkah menjadi simpuh dek terlalu lama dalam posisi yang sama. Fenomena yang biasa-biasa di mata pengunjung setia  di Masjid Biru itu, bagiku agak aneh tapi ianya kubiarkan saja.

Dipendekkan cerita, melalui adik bongsuku, diperkenalkan ku dengan pengemudi sebuah bulatan baru, di saat ku sedang dalam pencarian. Janji temu pertama di Masjid Biru itu, ahli-ahlinya malah baru sepertiku, senyumnya malu-malu. Bicara dimula oleh pengemudi selaku "murabbi" dengan sesi "ta'aruf'", perkenalan antara sesama ahli dan pandangan ttg bulatan yang dipanggil usrah ini. Benar setiap kami berbeza tentang hampir semua perkara, namun tidak sedikitpun kami rasa kelainannya. Kerana nyata, matlamat kami seakan sama, seorang hamba yang sedang mencari jalan dan lorong agar lebih memahami hakikat sebenar kejadian. Kami tidak banyak bezanya dengan sekumpulan biri-biri yang bergembira bilamana dipertemukan semula dengan pengembala, tatkala diancam serangan serigala. 


Dari situ, bermulalah episod baru, perjalanan di dalam bulatan ini. Benar-benar ceria, malah rindu bila lama tak bersua. Seakan terungkai segala kekusutan, tatkala buntu mencari jawapan, walaupun soalan bukan setiap kali disambut dengan jawapan yang pasti. Kerana seringkali diperingatkan, jawapan yang pasti itu hanya pada Pencipta. Makanya, fikiran dilatih agar lebih terbuka, lebih bersedia untuk menerima perbezaan pendapat antara satu dari yang lainnya. Persaudaraan berbulatan terasa indah, berbeza nikmatnya dengan pertalian darah. Sungguh, tak tipu...dalam bulatan itu aku gumbira.  

Dari Surah An-Anfal [8:63]

"Dan Dia (Allah), yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana". 

No comments: