Dipendekkan cerita, melalui adik bongsuku,
diperkenalkan ku dengan pengemudi sebuah bulatan baru, di saat ku sedang dalam
pencarian. Janji temu pertama di Masjid Biru itu, ahli-ahlinya malah baru
sepertiku, senyumnya malu-malu. Bicara dimula oleh pengemudi selaku
"murabbi" dengan sesi "ta'aruf'", perkenalan antara sesama
ahli dan pandangan ttg bulatan yang dipanggil usrah ini. Benar setiap kami
berbeza tentang hampir semua perkara, namun tidak sedikitpun kami rasa
kelainannya. Kerana nyata, matlamat kami seakan sama, seorang hamba yang sedang
mencari jalan dan lorong agar lebih memahami hakikat sebenar kejadian. Kami
tidak banyak bezanya dengan sekumpulan biri-biri yang bergembira bilamana
dipertemukan semula dengan pengembala, tatkala diancam serangan serigala.
Dari situ, bermulalah episod baru, perjalanan di dalam bulatan ini. Benar-benar ceria, malah rindu bila lama tak
bersua. Seakan terungkai segala kekusutan, tatkala buntu mencari jawapan,
walaupun soalan bukan setiap kali disambut dengan jawapan yang pasti. Kerana
seringkali diperingatkan, jawapan yang pasti itu hanya pada Pencipta. Makanya,
fikiran dilatih agar lebih terbuka, lebih bersedia untuk menerima perbezaan
pendapat antara satu dari yang lainnya. Persaudaraan berbulatan terasa indah, berbeza nikmatnya dengan pertalian darah. Sungguh, tak tipu...dalam bulatan itu aku
gumbira.
Dari Surah An-Anfal [8:63]
"Dan Dia (Allah), yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana".